Sunday, February 23, 2014

Teks Pengacara Majlis Menandatangani MOA



MAJLIS MENANDATANGANI
MEMORANDUM PERJANJIAN (MOA)
DI ANTARA
UNIVERSITI TEKNIKAL MARA (UniKL) DENGAN KOLEJ TESDEC
3 JULAI 2013
BILIK PERJANJIAN, WISMA DARUL IMAN, KUALA TERENGGANU

Mengumumkan ketibaan, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu.

Ke Pekan Kuala membeli bingka,
Sayang pesanan terlupa sudah,
Majlis bermula tirai dibuka,
Dengan alunan madah yang indah.

Bismillahhirrahmanirrahim,
·         Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu,
·   Yang Berbahagia Professor Dr. Mazliham bin Mohd Su’ud, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, serta anggota rombongannya,
·  Yang Berhormat-Yang Berhormat, Yang Berbahagia Dato’-Dato’, Dif-dif jemputan, Ketua-ketua jabatan,
·         Ahli-ahli Lembaga Pengarah, Para pegawai & kakitangan TESDEC dan UniKL,
·         Wakil-wakil media, seterusnya hadirin-hadirat sekalian!

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.
Majlis dengan sukacitanya mengalu-alukan kehadiran Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu, pegawai-pegawai kerajaan negeri serta tetamu-tetamu sekalian ke Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian di antara Universiti Teknikal MARA Sdn. Bhd. dan TESDEC Sdn. Bhd..  

Untuk makluman hadirin dan hadirat sekalian,

Pada hari ini, kita akan menyaksikan dua MOA yang akan ditandatangani iaitu untuk perjanjian lanjutan kerjasama bagi Program Diploma of Engineering Technology in Automotive Maintenance dan juga MOA untuk program baru dalam bidang Kimpalan iaitu Diploma of Engineering Technology in Welding yang akan dibangunkan dengan kerjasama di antara UniKL dan TESDEC sendiri.

Lebat kemiri pohonnya rendah,
Dahan terikat tali perkasa;
Sepuluh jari kami menadah,
Mohon berkat yang Maha Esa.

Bagi memberkati dan memuliakan majlis pada petang ini, majlis dengan sukacitanya menjemput Ustaz Wan Humaidi bin Wan Ismail, Pegawai Agama Pengurusan Masjid, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu untuk memimpin bacaan doa. Dipersilakan..
(Bacaan doa)

Amin Ya Rabb al-‘Alamin!
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri,  Yang Berhormat Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,
Bukan rumput sebarang rumput,
Rumput penghias tepi halaman;
Bukan jemput sebarang jemput,
Jemput memohon kata aluan.
Bagi meneruskan lagi majlis pada petang ini, majlis dengan sukacitanya mempersilakan Yang Berhormat En. Mohd Mahdi bin Musa selaku Pengerusi Lembaga Pengarah TESDEC Sdn. Bhd. untuk menyampaikan ucapan aluan. Dipersilakan.
(Ucapan aluan)

Terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat atas ucapan aluan sebentar tadi.

Surat dititip wakili kalam,
Kalam utusan baginda sultan,
Tuan rumah menghulur salam,
Giliran tuan membuat sambutan.

Majlis dengan sukacitanya menjemput pula, Yang Berbahagia Professor Dr. Mazliham bin Mohd Su’ud Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL untuk menyampaikan ucapan. Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan.
(Ucapan Presiden UniKL)

Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berbahagia Professor diatas ucapan sebentar tadi.

Hadirin sekalian,
Pertemuan pada hari ini bukanlah pertemuan yang pertama, bagi UniKL dan TESDEC. Sejak tahun 2008 lagi UniKL dan TESDEC telah menjalin kolaborasi (dalam penawaran program bertaraf diploma). Untuk itu, marilah kita tatap sejenak detik-detik kolaborasi di antara UniKL dan TESDEC dari dahulu sehinggalah ke hari ini. Sama-samalah kita saksikan.
 (Tayangan slide)

Lafaz doa sudah  dipanjatkan,
Alu-aluan telah disampaikan,
Tibalah saatnya tinta dititiskan,
Tanda ikatan sebuah perjanjian.

Untuk itu, majlis dengan sukacitanya menjemput Yang Berbahagia Tuan Haji Che Razali bin Adis, mengiringi Yang Berhormat En. Mohd Mahdi bin Musa untuk menjemput Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Ahmad bin Said, dan juga Yang Berbahagia Professor Dr. Mazliham Mohd bin serta Yang Berbahagia Professor Dato’ Haji Zahir bin Haji Mokhtar untuk ke pentas bagi menyempurnakan majlis menandatangani perjanjian. Dipersilakan...
(Semasa menandatangani perjanjian)

(Majlis pada hari ini akan menyaksikan penandatanganan dua MOA antara kedua-dua belah pihak iaitu kerjasama lanjutan untuk tiga tahun lagi bagi Program DET(AMT) dan perjanjian baru bagi Program DET(Welding).)
(Dokumen perjanjian yang bertukar tangan menandakan kesepakatan telah dicapai)

(Selepas Menandatangani Perjanjian)
Hadirin sekalian,
Sebagai tanda penghargaan, majlis dengan ini menjemput, Yang Berhormat En. Mohd Mahdi bin Musa, Pengerusi Lembaga Pengarah TESDEC untuk penyampaian cenderamata daripada TESDEC. 
Dipersilakan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu.
(Cenderamata utk MB)

Seterusnya dipersilakan pula Yang Berbahagia Professor Dr. Mazliham bin Mohd Su’ud.
(cenderamata utk Prof)

Terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat.

Tuai padi buahnya lebat,
Tanam  ubi beralas batas;
Sudah menjadi  adat bersahabat,
Orang berbudi kita membalas.

Majlis sekali lagi  mempersilakan Yang Berbahagia Professor Dr. Mazliham bin Mohd Su’ud untuk menyampaikan cenderamata kenangan bagi pihak UniKL.
Dipersilakan Dato’ Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu.
(Cenderamata kpd MB)

Seterusnya dipersilakan pula Yang Berhormat En. Mohd Mahdi bin Musa, Pengerusi Lembaga Pengarah TESDEC.
(Cenderamata kpd YB)

Terima kasih diucapkan kepada Yang Berbahagia Professor.
(Sesudah penyampaian cenderamata )

Nasi Malukut Sayur Keladi,
Daun selasih di dalam puan;                                          (KIV)
Selesailah sudah hajat di hati,
Terima kasih jua padamu Tuan.

Dengan ini, sempurnalah sudah majlis Menandatangani Memorandum (MOA) di antara Universiti Kuala Lumpur dengan TESDEC Sdn. Bhd.. 

Saya, bagi pihak penganjur, merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, Yang Berhormat Dato’-Dato’, para pegawai TESDEC dan UniKL, Ketua-ketua jabatan, Pihak Media , tuan-tuan dan puan-puan yang hadir menjayakan majlis pada petang ini. 

Segala yang baik itu datang dari Allah dan segala yang buruk  itu datang dari kelemahan pihak kami sendiri.
Dijemput Yang Amat Berhormat Dato’ Seri dan para pegawai yang berkenaan untuk ke sidang media.

Dan dijemput dif-dif jemputan yang lain untuk ke Dewan Makan bagi menikmati jamuan.
Sekian wabillah hitaufiq walhidayah wassalaamualaikum wbt.


(Makluman selepas majlis)
Dijemput Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, pegawai-pegawai kerajaan  , dif-dif jemputan, wakil-wakil media dan para petugas sekalian  ke Dewan Makan untuk menikmati jamuan.
Bagi petugas dan wakil-wakil media, Saudara-saudari. dijemput ke Bilik Rehat Khas sebentar lagi untuk  sidang media. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment