Sunday, March 16, 2014

Adab Memberi Salam di Perkuburan

Apabila seseorang itu sampai ke tanah perkuburan, disunatkan memberi salam kepada ahli kubur terlebih dahulu.

Diriwayatkan daripada Muhammad bin Qais bin Makhramah bin Mutalib bahawa Rasulullah ketika menziarahi tanah perkuburan, Baginda mengucapkan kata-kata yang maksudnya:

“Mudah-mudahan Allah mencurahkan limpah kesejahteraan kepada kamu sekalian wahai penghuni-penghuni kubur daripada kalangan orang mukmin. Semoga Allah memberi rahmat kepada orang yang telah mendahului kami dan orang yang kemudian. Sesungguhnya insyaallah kami akan menyusul kamu sekalian.” (Hadis riwayat Muslim).

Amalan memberi salam ini sebaik-baiknya dilakukan dalam keadaan berdiri di tepi perkuburan dengan membelakangi kiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang diziarahi itu.

Lafaz salam kepada ahli kubur secara umumnya adalah sebagaimana berikut: ( السلام ‏عليكم يا أهلَ القبور ) “Assalaamu ‘alaikum yaa ahlal qubuur”. Atau lafaz salam yang khusus misalnya ( السلام عليكم يا أبي ‏ ) “Assalaamu ‘alaikum ya abi (wahai ayahku) atau yaa ummi (wahai ibuku)”.

Lafaz yang lebih khusus untuk ahli kubur adalah sebagaimana berikut:

(
 السلام عليكم دَارَ قَوْمٍ مُؤْمِنِيْنَ, أَنْتُمُ سَّابِقُوْنَ وَنَحْنُ لاَحِقُوْنَ, يَغْفِرُ اللهُ لَنَا وَلَكُمْ )
"Assalamualaikum dara qaumin mukminin, antumussabiqun wa nahnu‏ ‏lahiquun yaghfirullahu lanaa wa lakum."
(Sejahtera atas kamu penghuni tempat kaum Mukminin. Kamu telah
mendahului dan kami akan menyusul kamu. Semoga Allah mengampuni kami .)
Kemudian tujuilah kubur yang hendak diziarahi itu dan berdiri atau duduk di hadapannya dengan mengadap kepadanya (membelakang kiblat) serta memberi salam kepadanya. Walaupun mayatnya sudah lama dan sudah hancur tetapi yang penting rohnya ada dan tahu siapa yang menziarahinya.
Ini diambil dari sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud: "Sesiapa yang memberi salam kepadaku Allah akan mengembalikan rohku dan akan menjawab salamnya".
‎ ‎
Selain itu, disunatkan berdoa dengan cara berpaling ke arah kiblat serta mengangkat kedua-dua belah tangan dan mohon kepada Allah semoga roh ahli kubur dilimpahi dengan rahmat, keselamatan, kesejahteraan dan sebagainya.

Sunday, March 9, 2014

#PrayForMH370

Tenangkan gundah di hati
Leraikan persoalan ini
Temukanlah duhai Ilahi
Kepada mereka yang sedang mencari...

Daripada-Mu kami datang
Kepada-Mu jua kami kembali
Jika ada umur yang panjang
Kupanjatkan doa bersua lagi...

SELAMATKANLAH MEREKA YA RABB...




Wednesday, March 5, 2014

Solat Tahajud

Allah berfirman maksudnya, “Apakah kamu hai orang-orang musyrik yang lebih beruntung atau orang-orang yang beribadat diwaktu malam dengan sujud dan berdiri, dalam keadaan takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah ” Adakah sam orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya hanya orng-orang yang barakallah yang dapat menerima pelajaran.” (Az-Zumar : 9)


Allah berfirman maksudnya, “Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya), (iaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit. atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kapadamu perkataan yang berat. Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan. Sesungguhnya kamu pada siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak). Sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadatlah kepada-Nya dengan penuh ketekunan.” (Al-Muzammil : 1-9)

Allah berfirman maksudnya, “Dan bangunlah pada sebahagian dari malam serta kerjakanlah solat tahajud pada waktu itu sebagai solat tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu menempatkan kamu di kedudukan yang terpuji". (Al Isra : 79).

Nabi saw. bersabda, “Solat yang paling utama selepas solat fardu adalah solat malam (tahajud).” (HR Muslim)

Nabi saw. bersabda, “Allah s.w.t sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan akan membangunkan isterinya dan kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Dan Allah sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan membangunkan suaminya dan jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya.” (Hadis Riwayat: Abu Daud)

Nabi saw. bersabda, “Sesungguhnya di syurga itu ada bilik yang luar boleh dilihat dari dalam, dan dalamnya boleh dilihat dari luar. Disediakan untuk mereka yang memberi makan orang-orang yang memerlukannya, mereka yang menyebarkan salam, serta mereka yang mendirikan solat tahajud pada saat manusia lain sedang tidur". (HR. At Thabrani dan Al Hakim).

Nabi saw. bersabda, “Wahai manusia sebarkanlah salam, bagilah makan dan sembahyanglah malam ketika manusia tidur nescaya kamu akan masuk syurga dgn selamatnya.” (HR at-Tirmizi)

Dari Salman Farisi, Nabi saw. bersabda, “Hendaklah kamu melazimkan (qiamulail) sembahyang malam. Sebab ia adalah amalan orang-orang soleh sebelum kamu. Ia mendekatkan kamu kepada tuhan, menghapuskan dosa, mencegah diri dari maksiat dan menyembuhkankan penyakit.” ( Riwayat At-Tabrani )
Sumber : http://infomasi-islamik.blogspot.com/

Life is short


Aku juga manusia

Yang selalu alpa dalam berkata

Seperti kau dan kau

Terkadang aku terkhilaf jua

Menyusun bicara membaris kata....



Monday, February 24, 2014

Teks Pengacara Majlis Malam Seribu Kenangan


Makluman kepada semua. Diharapkan semua hadirin dapat memastikan telefon bimbit anda berada dalam mode senyap sepanjang majlis berlangsung. Terima kasih.

Mengumumkan ketibaan Yang Berhormat, En. Mohd Mahdi bin Musa, Pengerusi Lembaga Pengarah TESDEC Sdn. Bhd. 

Bismillahirrahmanirrahim.
Yang Berhormat, En. Mohd Mahdi bin Musa, Pengerusi Lembaga Pengarah TESDEC Sdn. Bhd.

Yang diraikan, Tuan Haji Che Razali bin Adis, dan isteri.

Yang Berusaha, Tuan Haji Rozali bin Salleh, Pengurus Besar TESDEC Sdn. Bhd. dan isteri.

Yang Berhormat-Yang Berhormat, Yang Berbahagia Dato’-Dato’, 

Dif-dif jemputan, 

Wakil-wakil media yang hadir serta para kakitangan TESDEC Sdn. Bhd sekalian,

Assalamualaikum wbt. Dan salam sejahtera.

Majlis dengan sukacitanya mengalu-alukan kehadiran Yang Berhormat En. Mohd Mahdi bin Musa, serta tetamu-tetamu sekalian ke Majlis Malam Seribu Kenangan bersama Yang Berbahagia, Tuan Haji Che Razali bin Adis.

Untuk makluman para hadirin, majlis pada malam ini merupakan majlis yang dianjurkan khusus untuk meraikan Yang Berbahagia Tuan Haji Che Razali bin Adis, Mantan Pemangku Pegawai Eksekutif TESDEC Sdn. Bhd yang akan bertukar ke Yayasan Pembangunan Usahawan berkuat-kuasa pada hari ini. 

Majlis ini akan mengenang kembali jasa-jasa dan detik-detik permulaan Yang Berbahagia Tuan Haji di TESDEC Sdn. Bhd sehinggalah ke saat pertukaran beliau. 
 
Sarung ketupat berisi inti
Dibawa budak sambil berlari
Kehadiran semua sangat dihargai
Moga Majlis bertambah seri

Bunga mawar cantik tersemat
Dipetik gadis di tepi titi
Doa dibaca memohon Rahmat
Moga Majlis akan diberkati

Bagi memberkati lagi majlis kita pada malam ini yang penuh bermakna ini, marilah kita sama-sama mengaminkan doa yang akan dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Maliki bin Mohd.
Dengan segala hormatnya dipersilakan.
(Bacaan Doa)

Amin ya Rabbal Alamin.
Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Maliki bin Mohd atas bacaan doa itu tadi.

Majlis pada malam ini diteruskan lagi dengan ucapan daripada En. Mat Azam bin Hussein, Pengurus Pembangunan, Penyelenggaraan dan Jaminan Kualiti bagi mewakili suara seluruh kakitangan TESDEC Sdn. Bhd..

Majlis dengan segala hormatnya, mempersilakan.
(Ucapan Pengurus PPJK)

Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada En. Mat Azam bin Hussein atas ucapan beliau sebentar tadi.

Seterusnya, majlis dengan sukacitanya menjemput pula, Yang Berhormat En. Mohd Mahdi bin Musa selaku Pengerusi Lembaga Pengarah TESDEC Sdn. Bhd untuk menyampaikan ucapan. Dipersilakan.
(Ucapan YB Mahdi)

Terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat di atas ucapan sebentar tadi.

Ambilkan saya buah delima,
Masak sebiji di balik daun;
Budi tuan kami terima,
Jadi kenangan bertahun-tahun.

Majlis pada malam ini diteruskan dengan sebuah persembahan mutimedia mengenai memori perjalanan Yang Berbahagia Tuan Haji Che Razali bin Adis sepanjang 9 tahun berada bersama keluarga TESDEC Sdn. Bhd. Sama-samalah kita saksikan.

(Persembahan Multimedia)

Mengimbau kembali tanggal 3 Januari 1956, lahirnya seorang insan berjiwa besar di Kampung Pulau Bahagia Manir, Terengganu. Pemilik Ijazah Sains Perniagaan Tani dari UPM ini telah memulakan khidmat sebagai Juruteknik Pertanian sekitar tahun 1975 di Lembaga Pertubuhan Peladang Terengganu. 

Pada tahun 1981, beliau telah menamatkan zaman bujangnya dengan menyunting Puan Hajjah Faridah Ismail sebagai suri. Hasil perkongsian hidup bersama isteri, beliau telah dikurniakan 6 orang cahayamata, 3 putera dan 3 puteri.

Sebagai salah seseorang yang berdedikasi dan mempunyai komitmen yang tinggi dalam pekerjaan, beliau seterusnya terus menabur khidmat bakti apabila dilantik sebagai Pengurus Besar Persatuan Nelayan Terengganu pada tahun 1988. 

 Pada 2 Mac 1991, berbekalkan pengalaman selama 16 tahun dalam dunia pekerjaan, beliau telah diberi kepercayaan untuk berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Negeri dan pernah menjawat pelbagai jawatan termasuk sebagai Setiausaha Majlis Daerah Setiu dan juga Kemaman. 

Memulakan khidmat di Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu pada tanggal 16 Disember 2004, beliau telah membawa banyak perubahan kepada TESDEC. Daripada kemudahan infrastruktur sehinggalah kepada penambahan kursus-kursusnya.  Perubahan demi perubahan yang berlaku sepanjang perkhidmatan beliau di sini telah menjulang nama TESDEC untuk berdiri seiring dengan pusat kemahiran yang lain. Sesungguhnya terlalu banyak jasa dan sumbangan beliau kepada kita dan TESDEC khususnya.

Sumbangan beliau dan kerjasama erat antara kakitangan yang lain  telah menyumbang kepada kejayaan TESDEC pada hari ini. Benar kata pepatah, patah tumbuh hilang berganti, tapi takkan sama dengan yang pergi.  Kami iringi perjalanan empunya diri, dengan seuntai doa agar sentiasa berjaya dalam apajua lapangan yang akan diceburi. Pertemuan kita berakhir di sini. Tapi, perjalanan kita masih lagi panjang..

Buah selasih di dalam puan,
Dibawa gadis di tengah laman,
Takkan hilang jasamu tuan,
Jadi ingatan sepanjang zaman.
    

Seikhlas budi seuntai kasih, tepukan gemuruh buat Yang Berbahagia Tuan Haji Che Razali bin Adis.
Begitulah sebentar tadi, rentetan sebuah perjalanan seorang insan yang pernah hadir dalam lipatan sejarah jabatan kita. 

Sekarang, tibalah masanya, saat-saat yang kita dinantikan, mendengar amanat dan juga pesanan daripada insan yang kita raikan, Yang Berbahagia, Tuan Haji Che Razali bin Adis. Majlis dengan segala hormatnya, mempersilakan.
(Ucapan Mantan GM)

Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berbahagia Tuan Haji di atas ucapan sebentar tadi. Segala pesanan akan kami sematkan di hati bagi memastikan usaha dan amanah yang ditinggalkan tidak berakhir di sini.
Yang Berhormat, yang Berbahagia Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan, majlis menjemput semua hadirin untuk menjamu selera. 

Sambil hadirin menjamu selera, terimalah persembahan daripada ______________.
Dipersilakan.....

(DJ)

***(Selesai makan)
Hadirin yang dihormati sekalian, 

Berucap sudah, makan pun sudah. Majlis pada malam ini diteruskan dengan menjemput dan mempersilakan Yang Diraikan Tuan Haji Che Razali bin Adis untuk menandatangani Buku Seribu Kenangan. Dipersilakan.
(Tandatangan Buku)

Terima kasih diucapkan kepada Yang Berbahagia Tuan Haji dan _________________ .

Bulan puasa memetik kelapa,
Hendak menyambut Aidilfitri;
Budi kami tidak seberapa,
Kenangan diberi kekal abadi.

Sebagai tanda penghargaan dan kenangan-kenangan, majlis menjemput Yang Berhormat En. Mohd Mahdi bin Musa diringi, Yang Berusaha Tuan Haji Rozali bin Salleh dan isteri untuk menyampaikan cenderamata.

Dipersilakan, Yang Berbahagia Tuan Haji Che Razali bin Adis.
(Cenderamata GM)

Dipersilakan pula, ___________________________________________ (Isteri GM baru) untuk menyampaikan sejambak bunga kepada Puan Hajjah Faridah binti Ismail. Dipersilakan.
(cenderamata Pn. Hajjah)

Terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat dan Yang Berbahagia Tuan Haji.
Dengan berakhirnya majlis penyampaian cenderamata itu tadi, maka berakhirlah sudah majlis kita pada malam yang penuh bermakna ini.

Sebelum berpisah, semua tetamu dan kakitangan dijemput ke sesi bergambar dan seterusnya bersalaman dengan Tuan Haji Che Razali bin Adis 

Batang selasih permainan budak
Berdaun sehelai dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga

Sekian, wabillahhittaufiq walhidyah assalamualaikum wbt.